Tuesday 12 February 2013

Kerana diriku seorang wanita….



Kerana diriku seorang wanita….

           Alhamdulillah,tiada sanjungan dan pujian yang berhak diucapkan selain kepada Allah, Tuhan semesta alam yang telah menciptakan wanita sebagai pasangan lelaki dan menjadikannya sumber yang mengalir cinta kasih kepada suami dan anak-anaknya untuk bersama melaksanakan amanat atau peraturan yang diberikan oleh Allah dan RasulNya dalam meraih keredhaanNya.
               Di sini saya ingin membuat coretkan serba sedikit mengenai bagaimana untuk mendidik diri menjadi wanita yang berusaha untuk meningkatkan martabat dan kesucian dirinya. Terlebih dahulu saya coretkan secangkir manisan buat muslimah, dipetik oleh kata-kata nasihat dari Dr.’Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni,” Wahai wanita muslimah yang jujur, wanita mukminah yang taat , jadilah seperti pohon kurma, yang jauh dari kejelikan dan tinggi tak terjangkau oleh kejahatan, bila dilemparkan dengan batu , ia menggugurkan buahnya ; sentiasa hijau ,baik di musim dingin mahupun di musim panas ; lagi banyak manfaatnya”. “Hiduplah di tempat yang tidak menyentuh hal-hal yang tidak berguna , yang mampu menjaga kehidupan dari hal yang dapat menjaga rasa malu dan maruahmu. ucapanmu adalah zikir, cara memandangmu adalah menarik pelajaran dan diammu adalah berfikir”.
         Jelaslah martabat dan kesucian wanita amatlah dititikberatkan islam apabila wanita bukan sahaja dalam aspek rumah tangga malah penting dari segi ekonomi, sosial, pendidikan ,pemerintahan dan merangkumi urusan duniawi merangkap ukhrawi. Tetapi apa yang kita dapat lihat sekarang ini yakni zaman globalisasi yang sendat dengan kecanggihan teknologi sehingga mudahnya ideology-ideologi liar mempengaruhi pemikiran-pemikiran sihat yang pada dasarnya bersih berubah menjadi keruh dan hanyir ,hal demikian wanita kini ketandusan kebenaran bilamana keliru dalam memilih hala tuju sebenar mengikut prospek yang sebenar, sebaliknya wanita kini juga dangkal mengenai hakikat maruah adalah satu teras ( core value) budaya kita. Selain itu penangan thogut yang sebaliknya membina kekuasaan dan kediktatoran di atas kebodohan masyarakat yang telah dilumpuhkan daya fikiran dan dibunuh daya kritisnya. Fenomena ini jelas menunjukkan perbezaan martabat dan kesucian wanita kini dan zaman dahulu bilamana aspek pejuangan yang berbeza dimana wanita kini lebih bertunjangkan sumber-sumber yang cetek penelitiannya, mudah didapati dan mudah diperaktikkan tanpa menilai sama ada segaris dengan landasan islam dan syariah atau tidak.
           Dalam memperjelaskan lagi perbezaannya, disini saya nyatakan kisah perjuangan wanita pada zaman seblumnya. Ayuh kita amati kisah-kisah ini kaitkannya sebagai tauladan juga panduan. Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-quran dengan menamakan surah -an nisa’-. Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita -Khadijah r.anha-. Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita -Sumayyah r.anha-. Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.

           Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda nabi yang mafhumnya, “Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya”.

              Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya:
“Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah”.
 
        Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya. Kesabaran dan ketaatan Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah maha besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.
       Allahu Akbar!. Betapa besarnya pengorbanan para sahabiah r.anha ketika itu. Sanggup kehilangan harta, suami, anak-anak demi agama Allah swt. Kerana mereka yakin dengan janji Allah swt, Allah telah beli diri, harta dan masa orang mukmin dengan syurga Allah swt. Apa lagi yang kita harapkan jika Allah swt sendiri dah tawarkan syurgaNya untuk kita ? . But for sure, ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan ganjaran itu. Dan dunia ini adalah tempat untuk kita membuktikannya.
Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya , “Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”.

 Kembali kepada fitrah.
         Setelah direnungi kembali jelaslah segala permasaalahan hadirnya dari diri wanita itu sendiri. Bak kata Prof.Muhaya “ masalah hadirnya daripada individu yang seringkali melakukan kesalahan”. Justeru itu kembalilah wahai wanita kepada fitrah asal dimana setiap jiwa perlunya pengangan agama yang mengukuhkan lagi ruh keimanan dalam setiap diri kita. Wahai wanita usahlah keliru dalam memilih warna hidupmu, jelaslahkanlah putih pilihanmu kerana tersurat sudah sebagai sucinya fitrahmu. Tiada manusia yang kuat sentiasa. Bak kata orang ,hidup ini ibarat roda ,kadang kala kita diatas,kadang kala kita di bawah. Ada masa kita kuat ada masa kita lemah. Tetapi ayuhlah kita menjadi seorang  wanita yang bijak bila mana dia berada di bawah,maka dia akan berusaha untuk segera naik ke atas.
      Maka taubatlah dengan sebenar-benar taubat bagi memperbaharui diri,mengulangi kembali peraturan hidup dan membangunkan kembali hubungan dengan tuhanmu secara lebih baik dan penuh keyakinan. Tidak selamat hidup manusia yang kotor tanpa meyucikannya dengan bertaubat kepada Allah. Jika padamu ada noda-noda hitam, segeralah basuhinya dengan taubat dan keampunan,walaupun dosa itu seluas lautan dan setinggi gunung namun keampunanNya lebih luas dan tinggi daripada itu,sesungguhnya Dia lebih Maha Pengampun lagi Maha mengasihani.Bertaubat adalah mencuci hati dengan air mata dan membakarnya dengan dengan kobaran api penyesalan. Bertaubat juga adalah pembakaran di dalam hati ,pengekangan nafsuh ,keluhuran di dalam hati ,dan titisan air mata. Yang demikian adalah awal perjalanan yang ditempuh oleh orang-orang yang bertaubat ,modal orang-orang yang berjaya,langkah awal mereka yang menghendaki Allah, dan kunci istiqamah mereka yang hatinya condong kepada Allah. Hendaklah kita tidak merasa gagal dan kecewa , kerana sesungguhnya sejarah tidak pernah mengenal kata-kata terakhir dan aqal tidak pernah mengenal penghabisan sama sekali, tetapi yang dikenal hanyalah usaha dan pembaikan.sesungguhnya umur itu sama sekali seperti jasmani,ia boleh saja diubah dengan melakukan operasi kecantikan.
Sumber rujukan:
1.        www.iLuvislam.com-oleh: ahliahnizam.
2.        Jadilah wanita yang paling bahagia- Dr.’Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni.
3.        Tuhan tidak lupakan kita- Hilal Asyraf.
4.        Diari lubuk hati ibu-  Ustazah Nor Hafizah Musa.
5.        Islam dan melayu- Siddiq Fadzil.

No comments:

Post a Comment